BERANI, PERSAHABATAN DAN KEBENARAN
Bila kamu memandang dunia pada sisi yang baik, itu pengharapan.
Kita atau semua akan sedar, dalam fikiran juga mungkin sering
berputar kisar perihal dengan apa hidup ini perlu diisi.
Telah datang satu perkara kebaikan lalu dengan itu kita banyak
berfikir tentang untung ruginya.
Kata Muhammad Ali Pasya yang mendirikan negeri Mesir “Kesempatan
datang dengan tiba-tiba. Orang yang berani menangkap kesempatan itulah yang
akan sanggup menciptakan pekerjaan besar”.
Kata Hamka “ Takut gagal adalah gagal yang sejati. Takut mati
adalah mati sebelum mati. Hidup itu adalah gerak dan gerak itu ialah maju,
berjuang dan naik dan jatuh dan naik lagi.”
Apa yang pasti ilmu kita sampai dimana kita tahu kita pada masa
itu. Kita tidak tahu apa sebenarnya yang akan terjadi pada masa hadapan dan
sebab itu masa sekarang sangat berharga dan tidak ada yang perlu terbuang.
Suatu masa nanti, kita pasti melalui suatu fasa di mana pengalaman
dan ilmu itu sangat mendewasakan kita. Waktu itu mungkin kita tidak sedar
bahawa apa yang pernah kita lalui sebelum ini yang membawa kita kepada
pemikiran dan perlakuan sebegitu.
“Pengalaman adalah sekolah unggulan, tapi biayanya mahal” Heinrich
Heine.
Hidup dalam berkumpulan untuk melaksankan sesuatu misi mengajar
kalian banyak perkara. Antara yang penting, ia mengajar kamu tentang
persahabatan dan musuh.
Kadang-kadang kita tidak sedar kita di bawah pengaruh yang mana.
Kalau kamu menyangka persahabatan itu hanya dengan selalu belanja
makan ketika bersama, ketawa dan sedih bersama atau boleh berbual lama bersama,
makanya itu definisi yang sangat kurang tepat, sesiapa sahaja boleh buat
perkara di atas meskipun mereka sekumpulan pencuri.
Dalam Falsafah Hidup, Hamka mengatakan “Maksud persahabatan ialah
untuk sama-sama memperluas tujuan hidup, memperdekat di antara satu jiwa dengan
jiwa yang lain, yang telah terdapat kesesuaian di dalam satu perkara, sehingga
dapat didamaikan di dalam perkara yang lain”.
“Apabila terdapat kesalahan pada seseorang musuh, maka orang pun
berniat melepaskan sakit hatinya dengan jalan membongkar-bongkar kesalahannya
dan menghinakannya. Tetapi apabila terdapat kesalahan pada seseorang teman,
dapatlah dilakukan teguran dengan terus terang dan jujur. Satu teguran dari
seorang sahabat yang setia, pada suatu kesalahan yang nyata, orang tidak enggan
mengubahnya dan surut daripadanya. Tetapi apabila seorang musuh datang
menghinakan lantaran satu kesalahan kadang-kadang orang mahu tetap sahaja pada
kesalahan itu, walaupun apa yang akan terjadi”
Satu perkara yang semua perlu tahu, kita bersahabat dengan manusia
bukan malaikat. Manusia sangat terdedah untuk melakukan kesilapan. Kalau kita
hanya boleh menerima apa yang baik daripada sahabat, tapi kita tolak atau tidak
menerima kelemahan mereka, apakah ertinya semua itu. Mengambil kesempatan atau
hanya senang bersama dengan kelebihan.
Satu perkara lagi yang sangat penting dalam hidup ini, janganlah
kalian semua mengejar kegembiraan kerana itu lah matlamat hidup paling rendah.
Kamu boleh bergembira dengan apa cara sekali pun dengan cara halal atau haram.
Kamu boleh bergembira dengan berbuat apa pun asalkan kamu gembira. Tapi gembira
itu tidak lama dan hanya di dunia.
Kalian kejarlah kebenaran. Saat kalian berlari mengejar kebenaran,
ia memandu kalian semua pada jalan yang diredhai Allah.
Ya. Ia sesuatu perkara yang tidak boleh sepenuhnya nampak dan ia
sesuatu perkara yang sangat sukar untuk dilakukan. Kamu mengejar sesuatu yang
kamu tidak boleh lihat tapi kamu yakin ia benar.
Letakkan usaha kamu yang paling tinggi dalam setiap perbuatan
kebaikan yang kamu semua lakukan. Kita masih muda dan selepas ini akan lebih
banyak tanggungjawab.
Mungkin nanti suatu masa kamu lelah dengan apa keputusan yang kamu
terima. Cuma ketika itu ingatlah yang keputusan itu sifat manusia untuk melihat
sesuatu yang zahir pada pandangan yang perkara itu jaya. Tapi Allah Maha
melihat kepada bagaimana besarnya usaha yang kamu telah lakukan dan seberapa
tekadnya kamu dalam misi mencari dan menyebarkan kebenaran.
Jangan sesekali perkecilkan usaha yang kamu telah letakkan dalam
apa jua kebaikkan yang kamu ingin capai sebab Allah tidak akan sesekali
memperkecilkan usaha kalian.
Lakukanlah yang terbaik dalam satu pasukan yang jitu. Setiap
daripada kamu itu mewarisi setiap perbezaan kelebihan dan kelemahan tapi pada
akhirnya ia menyokong satu sama lain. Itulah kelebihan bekerjasama dengan
setiap kelebihan dan kelemahan yang setiap orang miliki.
Nanti penghujung kamu akan sedar cerita pada awal ini menjadi
modal semangat atau kenangan masa tua. Cerita malam untuk anak-anak dan cucu
untuk dibanggakan atau memberi inspirasi. Sebagai panduan hidup dalam
menghadapi cabaran-cabaran. Bila persahabatan baik telah terbina, suatu masa
hingga ke tua ia kekal dalam memperluas tujuan hidup.
Kamu boleh pilih sekarang untuk tidak mengambil peluang ini atau
kamu pilih sekarang untuk bakal menghadapi kesusahan jika menerima. Tetapi
ingatlah tidak mengambil peluang itu mungkin boleh mengakibatkan kamu menyesal
sampai ke tua atau pilhan lainnya bila kamu pilih untuk menghadapi rintangan
dan kesusahan, ia membina jati diri yang baik dalam diri kamu inshaAllah sampai
ke tua.
Salah satu nikmat manusia adalah PILIHAN, maka itu pilihan adalah
dari diri anda.
Semangat yang manusia beri tidak selalunya kekal dan tidak tahu
jangka masa ia boleh bertahan. Maka itu berpeganglah bahawa semangat itu perlu
tapi janganlah berbuat sesuatu kerana semangat sahaja, ia boleh hilang
bila-bila masa. Buatlah kerana ia amanah sebagai manusia yang tahu kebenaran dan
keutamaan.
Semoga semuanya baik-baik sahaja.
Terima kasih kerana kalau bukan kalian, diri yang setiap dari kita
miliki sekarang bukanlah baik seperti ini.
Semoga nanti kalian semua membesar menjadi orang yang sangat
berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan juga agama.
Jumpa lagi.
Comments
Post a Comment