AL-FATEH MENTORING CAMP 2: SMART SOLAT (2016)

Segala puji bagi Allah yang berhak menerima segala kepujian.

Berakhir sudah mentoring kedua dan ia satu pengalaman yang sangat menakjubkan.

Saya berharap keajaiban juga berlaku pada setiap yang menyertai. 

:)

Banyak kisah yang menyentuh hati, nanti saya akan ceritakan dalam cerita pendek.

Kali ini saya cukup berbangga bagi yang menyertai. Mereka semua hebat-hebat. Kerjasama yang diberi sangat tidak disangka. Semoga Allah memberikan apa yang mereka hajati hendaknya. Semoga selepas ini kita boleh bekerjasama lagi dan biar ini menjadi saksi jika suatu hari nanti ada sesuatu yang membuat aku lupa. Amin.

Dunia ini sangat luas. Ada bahagian yang tercemar ada juga bahagian yang harmoni. Kedua-duanya kebanyakannya hasil daripada tindak tanduk manusia.

Hati juga sangat luas. Ada bahagian yang tercemar ada juga bahagian yang harmoni. Kedua-duanya hasil daripada tindak tanduk manusia juga.

Perubahan kepada dunia itu bagi saya bermula dari perubahan dari hati.

Pada mulanya saya sangat risau dengan apa yang akan berlaku. Saya risau segala usaha kami tidak dapat mengubah adik-adik yang sedang kami didik. Saya risau segala usaha kami akan menjadi sia-sia.
Lalu perasaan kecewa itu kadang-kadang hadir sebelum ia sepatutnya hadir.

Pada satu ketika, ada sesuatu yang mengubah pemikiran saya. Kata ustaz Nouman Ali Khan, jangan risau dengan segala keputusan yang kita terima jika kita lakukan sesuatu itu kerana Allah. Ketika dahulu Rasulullah melakukan pelbagai usaha untuk mengajak orang ramai masuk Islam. Ketika itu juga ramai juga yang menolak lalu Rasulullah berasa sangat kecewa. Lalu Allah berkata yang memberi hidayah itu bukan kau, teruskan kerja mu untuk selalu mengingatkan mereka. (Lupa ayat surah apa)

Ketika itu saya sedar. Bukan kami yang mengubah tapi apa yang bisa kami buat adalah selalu mengingatkan agar sesuatu masa perubahan itu berlaku.

Cuba kita ingat balik dahulu bagaimana kita boleh berubah kepada kebaikan?

Ia bukan dari paksaan tapi dengan hati yang rela. Ada sesuatu yang mengusik hati lalu kita ambil tindakan untuk buat sesuatu. Tapi jika tiada tindakan maka perubahan masih belum berlaku.
Perubahan itu berpunca dari diri kita sendiri.

Saya juga percaya ramai juga yang terusik hati ketika suatu masa mereka diingatkan tentang sesuatu. Tapi dia tidak ambil tindakan. Dan bila tiada yang mengingatkan balik lalu ia hilang begitu sahaja.

Seperti adik-adik,
Satu masa mereka bergaduh lalu kita mengingatkan mereka bahawa gaduh itu tidak baik. Ketika itu mereka patuh dan tidak buat lagi. Tetapi esoknya mereka bergaduh lagi.

Satu masa mereka tidak susun selipar dengan betul lalu kami mengingatkan supaya untuk menyusun selipar lalu mereka patuh tapi kemudian selipar tidak disusun lagi.

Satu masa mereka mengejek kawan-kawan mereka dengan teruk sampai menangis tak nak makan lalu kami mengingatkan mereka bahawa mengejek itu tidak baik. Mereka patuh tapi selepas itu mereka buat lagi.

Jangan kecewa dan risau.

Perubahan itu mengambil masa. Apa yang kita perlu buat adalah untuk selalu mengingatkan. Jangan tewas atau kecewa dengan mengingatkan hanya sekali mereka masih buat lagi.

Kita juga dahulu selalu diingatkan oleh ibu bapa supaya solat, puasa, buat kerja rumah dan lain-lain. Mereka tidak pernah tewas untuk mengingatkan kita sampai satu masa kita sudah terbiasa dan boleh ingat dengan sendiri.

Dunia ini sangat menuntut penduduknya berlaku baik. Kerana kebaikan akan kembali kepada penduduk itu sendiri.

Pulihkan ingatan, lupa itu ubatnya mengingatkan.




Comments

Popular posts from this blog

DOA NABI MUSA

Ziarah Hari Raya Aidilfitri ke Kg Parit Ibrahim @ Pontian, Johor

Antara Cerdik Dan Baik..