2014 - Melahirkan Generasi Khalifah [ CHAMP 2 ]
Melentur buluh tentulah dari rebungnya. Bertolak daripada
kesedaran itu, mahasiswa-mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
menganjurkan program Children Mentoring Project (CHAMP). Projek
besar ini diterajui oleh ahli-ahli Kelab Anak-anak Berakhlak Islam (AKHI) bersama-sama
anggota Kelab Gemilang, Kelab Semaian Budi (Sendi), dan Kelab Titian Wahyu.
Semua kelab ini berada di bawah naungan Pusat Tanggungjawab Sosial Universiti
(CENSERVE), UIAM.
Projek CHAMP berusaha mendidik para peserta yang terdiri
daripada kanak-kanak untuk menerapkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian. Kanak-kanak
yang menyertai program ini terdiri daripada golongan yang mendapat bantuan
zakat (asnaf) dan baitulmal. Peserta dan penganjur diakrabkan melalui peranan
sebagai mentor dan mentee. Sembilan buah sekolah ikut serta dalam program ini
iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Sekolah Kebangsaan Setapak Indah,
Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Sekolah Kebangsaan Batu Muda, Sekolah
Kebangsaan Sentul (2), Sekolah Kebangsaan Menjalara, Sekolah Kebangsaan Taman
Sri Gombak, Sekolah Kebangsaan Taman Selasih dan Sekolah Sri Al-Huda.
Program pertama CHAMP adalah Mega Mentoring 1 yang
bertemakan “English and Mathematics”. Pada 1 November 2014, CHAMP tampil dengan
projek keduanya iaitu Mega Mentoring 2 dengan tema ‘Junior Caliphs : The Future Leader’ di Kuliah Kejuruteraan, UIAM
Gombak.
Objektif utama projek ini dijalankan adalah bagi
mengimbangi ilmu akademik dan fardu ain dalam kalangan para peserta. Oleh yang
demikian, projek ini memfokuskan kaedah-kaedah bersuci dalam Islam serta
kesempurnaan solat. Seawal jam 8.30 pagi para mentee dikumpulkan bagi sesi suai
kenal. Program dimulakan dengan aktiviti dan senaman ringan bagi menarik hati kanak-kanak yang ikut serta.
Program diteruskan dengan modul pertama iaitu Jejak Khalifah 1 yang bertemakan ‘Nikmatnya Bersuci.’ Para peserta dibahagikan kepada 8 kumpulan yang terdiri daripada 10 orang peserta. Mereka melalui 4 buah hentian yang dinamakan sebagai Madrasah Ali bin Abi Talib, Madrasah Umar bin al-Khattab, Usman bin Affan, dan Abu Bakar bin As-Siddiq di mana setiap madrasah ini menekankan kaedah bersuci yang berbeza-beza iaitu tayammum, mandi wajib, wudu’ dan samak. Di setiap madrasah, mereka diterangkan secara teori bagi setiap kaedah bersuci contohnya rukun dan syarat wajib seterusnya mereka didedahkan dengan cara-cara perlaksanaan dengan sempurna.
Sesi petang dihiasi dengan modul kedua iaitu Jejak
Khalifah 2 yang bertemakan ‘Solat Tiang Agama’. Untuk aktiviti ini, para
peserta diberi penerangan mengenai kesempurnaan solat serta kaedah perlaksanaannya.
Objektif utama aktiviti ini adalah bagi menambah baik pemahaman berkenaan solat
dan menjawab segala kemusykilan yang diajukan para peserta . Di samping itu,
mereka juga diingatkan tentang rukun solat, syarat sah dan wajib solat, perkara
makruh dan yang membatalkan solat serta bacaan dalam solat.
Antara lain, program ini berjaya memberi pemahaman dan kesedaran kepada para peserta mengenai kepentingan bersuci dan mendirikan solat dengan sempurna. Slot ‘Usrah Khalifah’ yang merupakan sesi kesimpulan bagi setiap aktiviti yang dijalankan membuktikan para peserta mampu menerangkan segala yang dipelajari dengan tepat. Sehubungan dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa program ini mencapai objektif dalam menerapkan ilmu fardu ain di samping akademik dalam kalangan para peserta. Semoga program sebegini dapat diteruskan dengan berbagai-bagai lagi pengisian selari dengan matlamat kelab yang berhasrat untuk membimbing anak-anak ini ke arah generasi Islam yang cemerlang.
Comments
Post a Comment