Melahirkan Duta Cilik
Alhamdulillah...selesai sudah mentoring AKHI yang keempat semalam dengan bertemakan 'Duta Cilik'. Apa signifikasi dari duta cilik ni? Haa....kali ni abang-abang dan kakak-kakak AKHI mahu bersama-sama adik-adik AKHI menanamkan kesedaran dalam diri masing-masing tentang tanggungjawab dan peranan diri terhadap bukan sahaja diri sendiri malah juga masyarakat. Allah telah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 30 :
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." |
Siapakah khalifah itu? Tak lain tak bukan kitalah. Manusia. Justeru, bertempat di Masjid Asy-Syakirin Gombak, pada hari Ahad 29 May 2011, komuniti AKHI telah menapakkan kaki ke sana bagi menjalankan misi tanggungjawab pada masyarakat, alam dan dunia. Apa yang telah kami lakukan? Kami menjalankan gotong-royong di kawasan sekitar masjid tersebut. Adik-adik mentee dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dengan diawasi oleh abang-abang dan kakak-kakak mentor masing-masing, mereka diagihkan dan menjalankan tugas yang diberikan. Ada yang ditugaskan mencuci tandas. Ada yang mengelap tingkap kelas di masjid tersebut. Ada yang membersihkan kantin. Tidak ketinggalan ada juga yang ditugaskan membuat batas untuk menanam pokok. Dan seterusnya dengan batang pokok ubi dan serai yang dibekalkan oleh pak cik penjaga masjid tersebut, adik-adik mentee merasai pula pengalaman menanam pokok-pokok tersebut. Bukan adik-adik saja, kakak-kakak dan abang-abang mentor juga kelihatan teruja. Hihihi.
Menerusi slot usrah AKHI, adik-adik mentee diterangkan semula tentang apa yang telah mereka lakukan pada slot pagi. Peranan sebagai seorang hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Adik-adik diberi penekanan tentang sikap prihatin, mengambil berat, tanggungjawab dan sikap suka tolong-menolong menerusi video yang ditayangkan. Ada adik-adik yang pantas dan cepat mengeluarkan banyak pengajaran daripada video tersebut.
Untuk slot terakhir, kru RESILIA telah memperkemaskan lagi sesi mentoring kali ini dengan memberi kesedaran tentang gejala sosial serius yang sering diuar-uarkan di dada akhbar. Zina dan buang bayi telah menjadi buletin tetap di mana-mana halaman akhbar. Justeru, sebagai satu langkah awal untuk mencegah kes-kes tersebut daripada berulang, mereka menerangkan sedikit sebanyak apa yang patut diketahui oleh adik-adik mentee supaya mereka sedar dan dapat menanamkan dalam hati mereka tentang bahana pergaulan bebas dan zina. Lebih-lebih lagi sebagai seorang muslim, hamba Allah swt.
Secara keseluruhannya, adik-adik mentee kelihatan bersemangat dan seronok dengan aktiviti yang dijalankan. Semoga adik-adik mentee dan kakak-kakak serta abang-abang mentor akan terus bersemangat untuk menjayakan program-program AKHI yang mendatang. InsyaAllah! ^_^
Comments
Post a Comment